Latar belakang Sekolah_Berprestasi_Tinggi

Hasrat untuk mengenal pasti dan mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya di Majlis Perhimpunan bersama Anggota Pentadbiran dan Penjawat Awam serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 27 Julai 2009.

Sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, sekolah kluster dan Sekolah Berasrama Penuh. Dengan ini, kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta bagi memacu lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebelum penamat 2012.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyediakan pelan tindakan untuk mengenal pasti 100 SBT menjelang 2012. Usaha ini sejajar dengan hasrat "1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Pada 9 September 2009, KPM mengambil keputusan untuk mengiktiraf 100 buah sekolah yang terdiri daripada sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan menjadi SBT serta menubuhkan Sektor SBT di Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster (BPSBPSK) supaya pengurusan SBT dapat dilaksanakan dengan efisien.

Sebanyak 20 buah sekolah telah diumumkan sebagai SBT Kohort 1 oleh Menteri Pelajaran pada 25 Januari 2010 dan majlis pengiktirafannya telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur pada 29 Januari 2010. Pada 18 Februari 2011, sebanyak 23 buah sekolah pula telah diumumkan sebagai SBT Kohort 2[2] oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Limbang, Sarawak. Pada 4 Februari 2012 pula, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan lagi senarai 14 buah sekolah sebagai SBT Kohort 3[3] dalam satu majlis pengiktirafan SBT di Putrajaya. Seterusnya pada 28 Disember 2012, 25 buah sekolah lagi diberi taraf SBT, menjadikan jumlah kesemuanya 91 buah.[4]